Friday, June 23

DRAMA: Nightmare Teacher

Assalamualaikum semua :)

Nia sudahpun habis menonton drama korea yang bertajuk Nightmare Teacher. Durasi setiap episod untuk drama ini pendek – pendek sahaja iaitu antara 15 hingga 20 minit.

Drama ini mengisahkan Han Bong Goo yang menjadi guru kelas sementara bagi Tahun 2 Kelas 3. Sejak kedatangan Han Bong Goo, seorang demi seorang pelajar Tahun 2 Kelas 3 hilang dan tidak ada sesiapa pun yang mengingati mereka kerana ingatan tentang pelajar – pelajar yang hilang itu telah dipadamkan.


Presiden Kelas 3 iaitu Kang Ye Rim dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena di dalam kelasnya kerana meja kosong sering bertambah daripada satu menjadi dua menjadi tiga dan seterusnya dari sehari ke sehari. Dia bersama Seo Sang Woo bertindak untuk menyiasat punca di sebalik kehilangan pelajar dalam kelasnya dan mengapa memori tentang mereka terpadam.

Semasa penyiasatan, Kang Ye Rim perasan satu persamaan antara semua pelajar yang hilang iaitu mereka semua pernah pergi ke Bilik Kaunseling untuk menjalani sesi kaunseling yang dilakukan oleh Han Bong Goo.


Jadi, dia dan Seo Sang Woo menyelinap masuk ke dalam bilik kaunseling untuk menyiasat. Kang Ye Rim terjumpa satu fail dalam laci Han Bong Goo dan di dalamnya terdapat kontrak – kontrak yang ditanda tangani menggunakan darah oleh pelajar – pelajar yang hilang dulu. Kang Ye Rim nekad mahu berdepan dengan Han Bong Goo dan bertanya tentang pelajar – pelajar yang hilang itu kerana dia mahu menyelamatkan mereka.

Han Bong Goo membenarkan Kang Ye Rim untuk masuk ke dalam cermin bagi mencari kawan – kawannya yang hilang dalam tempoh masa yang ditetapkan. Namun Kang Ye Rim perlu menanda tangani kontrak dengan Han Bong Goo. Sekiranya Kang Ye Rim gagal untuk mencari mereka, dia perlu tinggal di dalam cermin bersama kawan – kawannya.


Itulah antara syarat dalam kontrak yang akan Kang Ye Rim tanda tangani. Kang Ye Rim bersetuju untuk tanda tangani kontrak tersebut bagi membolehkan dia masuk ke dalam cermin dan mencari kawan – kawannya yang hilang.

Drama ini sarat dengan dilema perasaan pelajar – pelajar sekolah. Antaranya ialah mahu menjadi yang terkuat di sekolah, keinginan untuk menjadi cantik dan berpasangan dengan pelajar paling popular di sekolah, mereka cerita – cerita bohong untuk menarik perhatian kawan – kawan, mahu kembali rapat dengan kawan – kawan yang lain, boleh melakukan apa sahaja demi mendapatkan tempat pertama dalam peperiksaan.


Nia rasa drama ini sangat bagus untuk ditonton oleh para remaja diluar sana kerana terdapat pelbagai pengajaran di dalamnya. Nia secara peribadinya suka menonton drama ni dan turut menyarankan kepada kau orang semua untuk menontonnya juga. Jangan risau, drama ini pendek sahaja durasi bagi setiap episod. Hanya 15 hingga 20 minit sahaja.

Jumlah Episod: 12
Rating: 4.8 / 5

Sumber gambar: google.com

No comments:

Post a Comment

satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.